Beberapa Isu Dalam Ibadah Zakat

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga, selepas solat berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda: 

Dari Ibnu Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: “Dasar (pokok-pokok) Islam itu ada lima perkara: (1) Mengakui tidak ada Tuhan selain Allah, dan mengakui bahawa Muhammad itu Rasullullah. (2) Menegakkan solat (3) Membayar zakat (4) Menunaikan ibadah haji, dan (5) Puasa bulan Ramadhan.”

(Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0006)

Begitu tinggi dan ‘urgent‘ kedudukan zakat sehinggakan perintah berzakat yang disebut di dalam Al-Quran adalah sebanyak 35 kali dan 32 kali daripadanya digandingkan dengan kata “solat”.  Di antaranya seperti berikut:

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

(Surah Al-Baqarah 2:43)

Islam didirikan atas tiga perkara iaitu Iman, Amal dan Ihsan. 

Iman yang merupakan perbuatan hati adalah dasar, sedangkan amal soleh yakni perbuatan (amaliyyah) merupakan bukti kebenaran iman. Kedua-duanya dapat diperlihatkan atau ditunjukkan melalui nilai-nilai akhlak seorang mukmin (ihsan). Amal perbuatan pertama yang dituntut dari seorang Mukmin adalah solat yang merupakan ibadah badaniyah (ibadah dengan gerakan badan), kemudian zakat yang merupakan ibadah harta, seterusnya rukun-rukun Islam yang lain. 

Zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Ramai di antara umat Islam Melayu yang apabila disebut tentang zakat cuma tertumpu kepada zakat fitrah di bulan Ramadhan sahaja, walaupun mempunyai harta yang banyak. Zakat fitrah adalah wajib kepada semua orang Islam tidak kira umur dan kedudukan; manakala zakat harta menjadi wajib kepada mereka yang cukup syarat sahaja iaitu; Islam, orang yang merdeka (bukan hamba), memiliki harta yang sempurna milik, cukup haul, cukup nisab dan berkembang (bertambah nilai).

Isu Pertama: Apakah zakat harta dikira meliputi harta yang tidak halal?

Tujuan pemberian zakat bertujuan untuk membersihkan pemiliknya dan membantu mereka yang berhak mendapatkannya. Adapun zakat yang dikeluarkan adalah daripada harta-harta yang diperolehi secara halal. Itu merupakan kriteria pertama. Istilah ‘membersihkan’ di sini lebih kepada maksud mensucikan harta tersebut. Ibarat sebidang kain putih yang tiada kekotoran yang nyata, maka kita ‘sucikan’ dengan membilasnya untuk menghilangkan debu-debu yang tidak kelihatan pada mata kasar. 

Adapun kekotoran yang nyata tidak boleh hanya dibilas tetapi hendaklah dibersihkan dengan bahan pencuci. Ini bermakna, harta yang diperolehi secara tidak halal atau dalam istilah sekarang disebut sebagai ‘tidak patuh syariah’, tidak boleh dizakatkan. Contohnya; harta daripada keuntungan penjualan arak atau daripada hasil perjudian, tidak boleh disucikan dengan zakat. Sebaliknya harta-harta tersebut mestilah di’bersih’kan dengan mengeluarkannya secara keseluruhan dan disalurkan kepada badan kebajikan seperti Baitulmal untuk digunakan bagi tujuan maslahah umum.

Dari sudut pelaburan pula, jika wang dilaburkan di dalam skim pelaburan yang diisytiharkan sebagai tidak patuh syariah (tidak halal) oleh Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti (SC), pulangan dan dividen yang didapati daripada pelaburan tersebut juga tidak boleh dizakatkan. Pulangan dan dividen yang didapati hendaklah di’bersih’kan dengan menyalurkan kepada badan kebajikan. Cuma wang pokok yang dilaburkan sahaja yang wajib dizakatkan, jika didapati melebihi nisab selepas dicampurkan dengan harta-harta lain.

Kesimpulannya, harta yang didapati dengan cara tidak halal, tidak sah atau bathil, tidak boleh ‘disucikan’ dengan membayar zakat.

Isu Kedua: Adakah zakat harta meliputi pendapatan penggajian?

Secara tradisinya semasa zaman Rasulullah SAW, harta yang wajib zakat terbahagi kepada emas dan perak, mata wang (dinar dan dirham), haiwan ternakan, hasil pertanian, harta galian dan harta perniagaan. Dengan peredaran masa, zakat harta telah berkembang kepada jenis-jenis harta lain. Maka lahirlah jenis-jenis harta zakat yang baharu iaitu, harta berasaskan pendapatan, wang simpanan dan saham serta pelaburan.

Pendapatan dikatakan sebagai ‘mal-mustafad’‘ iaitu harta yang diperolehi dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain. Hampir keseluruhan negeri di Malaysia telah mewajibkan zakat pendapatan. Ada juga negeri yang tidak mewajibkan zakat pendapatan. Ini kerana terdapat pandangan yang berbeza di kalangan jawatankuasa fatwa negeri masing-masing.

Para ulama kontemporari seperti Dr Yusof Qardawi dan Muhammad Abu Zahrah telah menerima konsep perluasan zakat harta dengan menerima zakat pendapatan kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang. Ini berasaskan dalil dalam Al-Quran di mana Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”  – [Al-Baqarah (2): 267]

Para ulama fiqah menyatakan, istilah ‘dari hasil usaha kamu’ daripada kalimah ‘ma kasabtum’ di dalam ayat tersebut jelas menunjukkan kepada elemen pekerjaan. Daripada pekerjaan ini melahirkan harta, maka sebahagian daripada harta tersebut, mengikut ayat di atas, hendaklah diberikan sebagai zakat.

Ada yang berbeza pendapat bahawa pendapatan tidak termasuk di dalam kategori harta yang wajib dizakatkan. Mereka beralasan, Imam Syafie sendiri tidak menerimanya dan ia juga tidak dijalankan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Perlu ditekankan bahawa walaupun zakat pendapatan tidak terdapat di zaman Rasulullah tetapi para Khulafa’ ar-Rasyidin sendiri memilih melaksanakan zakat pendapatan ini semasa mereka memerintah.

Bagi negeri-negeri yang mewajibkan zakat pendapatan, terdapat banyak majikan yang berurusan dengan badan zakat yang dilantik pemerintah dengan membuat penolakan zakat daripada gaji pekerja termasuk ealun dan bonus dengan kaedah tertentu. Pembayaran zakat dengan penolakan gaji pekerja ini boleh dianggap sebagai bayaran pendahuluan dan hendaklah dikira semula pada penghujung haul. Pengiraan tersebut hendaklah dicampurkan dengan pengiraan zakat harta yang lain.

Nisab zakat pendapatan bersandarkan 85 gram emas. Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan. Pengiraan boleh dibuat berdasarkan pendapatan kasar atau pendapatan bersih. Para ulama kontemporari seperti Dr Yusof Qardawi tidak meletakkan syarat haul ke atas zakat pendapatan. Ini bermakna pengiraan zakat adalah berdasarkan semua jenis pendapatan iaitu gaji bulanan, elaun, bonus tahunan, komisyen, gratuiti, sewaan dan apa-apa sumber daripada perkhidmatan dan penggajian.

Pengiraan zakat penfapatan boleh dilakukan berdasarkan pendapatan kasar yakni jumlah pendapatan yang didapati selama setahun dikira dan didarabkan dengan 2.5%; atau berdasarkan pendapatan bersih dengan menolak perbelanjaan asas yang dibenarkan selama setahun iaitu perbelanjaan diri sendiri, isteri, anak-anak, pemberian kepada ibubapa, simpanan di dalam Tabung Haji dan sumbangan EPF.

Isu Ketiga: Boleh Kah Zakat Disalurkan Terus Kepada Asnaf?

Golongan yang layak menerima zakat dikatakan sebagai asnaf. Terdapat lapan (8) asnaf sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Quran, yang bermaksud;

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

[At-Taubah (9): 60]

Kelapan-lapan asnaf yang disebutkan di dalam ayat tersebut adalah:

  1. Fakir – orang yang tidak memilikki apapun untuk memenuhi keperluan hidupnya
  2. Miskin – orang yang memilikki harta tetapi tidak cukup untuk memenuhi keperluan hidupnya
  3. Amil – orang yang memungut dan mengagihkan zakat
  4. Muallaf – orang yang dilembutkan hatinya untuk mendekati Islam
  5. Riqab – hamba yang hendak dimerdekakan
  6. Gharimin – orang yang masih berhutangan atas sebab-sebab dharuriyyat
  7. Fisabilillah – orang yang perlu biaya untuk jalan Allah
  8. Ibnu-sabil – orang yang terputus bekalan ketika di dalam musafir

Berbanding dengan solat yang merupakan ibadah badaniyah, zakat dikatakan sebagai ibadah sulthaniyah. Dengan ertikata lain urusan zakat ini diletakkan di bawah tanggungjawab pemerintah. Ini dilihat daripada firman Allah di dalam al-Quran, yang bermaksud;

“Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

[At-Taubah (9): 103]

Ada pendapat yang mengatakan perkataan ‘ambillah’ pada permulaan ayat tersebut merupakan arahan dari Allah kepada pemerintah agar membuat kutipan zakat yang memberi erti bahawa zakat adalah menjadi sebahagian dari tanggungjawab negara. Menurut pendapat tersebut ayat di atas jelas menunjukkan bahawa urusan harta zakat adalah di bawah tanggungjawab pemerintah. Hujah ini diperkuatkan dengan dalil hadis yang bermaksud:

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: Ketika Nabi SAW. mengutus Muaz ke negeri Yaman, beliau mengatakan kepadanya: “Sesungguhnya engkau akan datang kepada kaum Ahli Kitab. Maka hendaklah mereka engkau panggil lebih dahulu, supaya mereka mengakui Keesaan Allah. Apabila mereka telah mengetahui (mengakui) hal itu, ceritakanlah kepada mereka, bahawa Allah mewajibkan kepada mereka solat lima kali dalam sehari semalam. Setelah mereka mengerjakan solat, beritakanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka membayar zakat harta, diambil dari orang yang kaya di antara mereka diberikan kepada orang miskin. Setelah mereka mengakui hal itu, ambillah dari mereka dan jauhilah mengambil harta yang berharga kepunyaan orang banyak.”

(Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1980)

Pada zaman Rasulullah SAW, zakat tidak pernah diagihkan menerusi Baitul Mal, ataupun melalui institusi zakat. Cuma apa yang berlaku, Rasulullah sendiri melantik wakil di kalangan sahabat sebagai amil untuk menjalankan kerja mengutip zakat. Atas dasar itu maka jumhur ulama’ menyatakan, zakat wajar dibayar kepada amil yakni pengutip yang dilantik oleh pemerintah bahkan sehingga ke tahap ‘paksaan’ jika perlu. 

Walaupun begitu, ada pendapat lain yang mengatakan tiada nas yang qat’ie bahawa zakat mesti diagih melalui sesuatu badan tertentu. Ada yang berpendapat zakat boleh dikeluarkan dan diagihkan sendiri secara terus kepada asnaf.

Perbezaan atau percanggahan pendapat di kalangan fuqaha’ samada tidak atau membenarkan zakat diagihkan sendiri, dapat dilihat melalui kategori harta yang dibahagikan kepada harta zahir dan harta batin. Jenis harta yang pertama iaitu harta batin adalah harta yang tidak diketahui pada kebiasaannya dan ianya tidak berkembang dengan sendirinya. Harta-harta yang tergolong dalam kategori harta batin adalah emas dan perak, harta karun (Rikaz), harta dagangan dan zakat fitrah. Manakala harta zahir pula merujuk kepada harta yang nampak dan boleh berkembang dengan sendirinya seperti binatang ternakan, tanaman dan buah-buahan, galian (Ma’adin), serta harta batin yang dibawa masuk dari suatu bandar ke bandar yang lain.

Terdapat perbahasan di kalangan fuqaha samada perlu diserahkan kepada pemerintah atau boleh diserahkan kepada asnaf tanpa melalui amil. Golongan yang mengatakan zakat perlu diserahkan kepada pemerintah terdiri daripada Mazhab Hanafi serta satu qaul dalam Mazhab Shafi’i, berdasarkan dalil dari Surah At-Taubah ayat 103 sebagaimana yang disebutkan di atas. Manakala satu qaul lain dalam Mazhab Shafi’i menggariskan bahawa zakat wajib diserahkan kepada pemerintah, tetapi terhad kepada harta zahir sahaja. Mereka berpendapat harta batin boleh diagihkan sendiri oleh pemiliknya. Ini berdasarkan ijma’ sahabat di zaman khalifah ‘Uthman bin al-‘Affan di mana harta batin diserahkan kepada pemilik untuk diagihkan sendiri kerana di waktu itu penduduk mempunyai harta yang banyak sehingga sukar untuk pemungut menjalankan pemeriksaan. Terdahulu dari itu, pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq serta ‘Umar al-Khattab, harta batin dipungut dan diserahkan kepada pemerintah. Namun kebenaran mengagihkan sendiri di zaman khalifah ‘Uthman tidak menggugurkan hak pemerintah untuk mengambil zakat; pemerintah boleh memaksa pemilik harta agar mengeluarkan zakat sekiranya mereka engkar.

Pada pandangan penulis secara peribadi dan sebagai pengamal Perancang Kewangan Islam, kita perlu lihat agihan zakat ini secara objektif. Adapun tujuan zakat diberikan kepada asnaf secara jangka pendeknya adalah untuk meringankan beban asnaf. Seterusnya dalam jangka masa panjang, adalah untuk membebaskan asnaf daripada keadaan semasa mereka. Jika zakat diagihkan kepada asnaf secara terus ianya mungkin dapat menyelesaikan masalah jangka pendek asnaf. Akan tetapi jika disalurkan melalui badan zakat yang dilantik oleh pemerintah, kedua-dua objektif di atas mungkin dapat dicapai. Ini kerana pihak berkuasa yang merupakan amil, dapat menyalurkan bantuan secara berterusan dengan program tertentu dan agihan yang sistematik bagi memastikan asnaf terkeluar daripada belenggu yang dihadapi mereka. 

Di Malaysia, kuasa memungut zakat termasuk zakat fitrah adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Majlis merupakan pihak yang mewakili pemerintah dalam urusan pungutan dan agihan zakat sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan persekutuan, serta enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri. Peruntukan enakmen negeri-negeri dengan jelas menyatakan kuasa memungut zakat mahupun zakat fitrah adalah di bawah bidangkuasa Majlis. 

Isu Keempat: Adakah dengan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui pihak berkuasa dikatakan melakukan dosa?

Isu ini menjadi polemik di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Ramai yang keliru dengan kenyataan ‘berdosa’ jika zakat diagihkan sendiri tanpa melalui amil yang merupakan pihak yang dilantik oleh pemerintah.

Penulis ingin membawa perhatian pembaca bahawa kenyataan ini merupakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 21-23 November 2006 dengan resolusi berikut:

“Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”.

‘Keperdosaan’ sipelaku adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”. 

[An-Nisa’ (4): 59)

Di dalam hal ini, dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda;

“Dengar dan taat adalah (kepada peperintah) suatu hak kewajiban ke atas seorang Muslim, sama ada di dalam perkara yang disukai atau dibenci, selama tidak diperintahkan melakukan maksiat. Apabila diperintahkan melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan tiada lagi ketaatan”. 

(Hadis Sahih Bukhari No: 7144))

Ini bermaksud, selagi pemerintah tidak melakukan maksiat (termasuk menipu dan merompak hak rakyat), maka adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk taat kepadanya.

Isu Kelima: Adakah zakat boleh diqadakan sekiranya tidak dibayar sebelum ini?

Gagal membayar zakat harta merupakan perkara lumrah di kalangan orang Islam. Seperti yang dinyatakan awal perenggan tadi, ramai di antara orang Islam yang menumpukan perhatian kepada zakat fitrah di bulan Ramadhan sahaja tanpa ada kesedaran tentang kewajipan membayar zakat harta. Tidak kurang juga yang lalai dan merasa ‘rugi’ untuk membayar zakat. Ditakuti harta akan berkurangan dan menjadi papa.

Allah Azzawajalla berfirman yang maksudnya;

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.”

[Al-Baqarah (2): 268]

Pertamanya, elok kita lihat dari segi konsep pemilikan harta. Sebagai seorang Mukmin kita harus menyakini bahawa segala apa yang ada di antara langit dan bumi (termasuk diri kita sendiri) adalah milik Allah. Harta yang dimilikki di dunia ini cumalah sementara sahaja dan kita diamanahkan oleh Allah untuk menjaganya.

Dalam Surah Al-Hadid, ayat 7 Allah menerangkan;

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebagian) dari hartanya memperoleh pahala yang besar.”

Dalam kitab Al-Kashshaf, ulama’ Zamakhshari (1057 M) telah menafsirkan ayat tersebut sebagai, ‘Allah menjadikan hambaNya (manusia) sebagi wakil untuk menguasai harta yang menjadi milik Allah.’ Sebagai khalifah kita bertanggungjawab atas harta yang dijadikan kita sebagai pemegang amanah (wakil). Maka oleh kerana itu kita dipertanggungjawabkan untuk menafkahkan sebahagian harta tersebut ke jalan Allah.

Zakat merupakan sedeqah yang diwajibkan ke atas Muslim. Jumhur ulama’ menyatakan adalah berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya tetapi melengahkan zakat. Atas kelalaian tidak berzakat, terdapat yang hartanya menjadi binasa. Di dalam hal ini, wujud khilaf atau perbezaan pendapat di kalangan fuqaha mengenai harta zakat yang binasa kerana kelalaian. Ada yang berpendapat sudah terlepas zakatnya kerana harta sudah binasa dan ada yang berpendapat zakat wajib dibayar setelah harta kembali semula.

Maka adalah dinasihatkan mereka yang lalai akan tanggungjawab zakat di masa lampau untuk mengira semula zakat yang perlu dibayar dan membayarnya sekadar yang mampu sebagai qada zakat, selepas timbul keinsafan.

Kesimpulannya, penulis ingin menarik perhatian pembaca agar menitikberatkan ibadah zakat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah harta yang dipinjamkan buat sementara waktu. Beberapa isu yang diutarakan telah dibincangkan sekadar ilmu yang dipinjamkan Allah kepada penulis, berdasarkan dalil-dalil yang berkaitan. 

Akhirkata, penulis ingin menyarankan pembaca merujuk kepada pihak yang berwajib di negeri masing-masing dalam urusan zakat. Dan ambillah peluang dengan mengambilkira zakat yang dibayar sebagai rebat untuk mengurangi cukai tafsiran secara optimum.

Wallahu’alam.

Zahidi Ahmad, IFP, MMA

Leave a Reply